Wednesday, March 18, 2015

CARILAH 'DOKTOR SEGALA DOKTOR'

Teks : Zurina Julaihi

Sumber : Perkongsian daripada ahli Hijrah Haura 14


Bila kita dalam TERTEKAN (stress), kita mencari lagu yang sesuai dan kena dengan jiwa kita untuk didengar, bukan dicari alunan ayat-ayat Al-Quran yang mampu buat jiwa bergetar.

Bila kita dalam KESEDIHAN, kita cari teman untuk berkongsi ratap tangis kita, bukan dikongsi dengan Tuhan yang Maha Mendengar semua rayuan hamba-hambaNya.

Bila kita MARAH, kita sering menjerit, meninggikan suara, menggunakan kata-kata kesat dan nista, bukan kita diam, berwudhu, solat dua rakaat dan sujud padaNya.

Bila kita rasa TERTIPU dengan seseorang, kita mudah berdendam dan mahu membalasnya lebih teruk dari apa yang mereka lakukan, bukan kita bersabar dan berdoa biar Allah bukakan hatinya untuk insaf dan sedar dari kesalahan.

Bila kita TIDAK MENYUKAI seseorang, kita cuba mencari kelemahannya, memfitnah/bergossip dan menyebarkan keaibannya sini-sana, bukan kita cuba mengenalinya dengan lebih dekat untuk tahu masalah dan dirinya yang sebenar-benarnya.

Bila kita rasa KURANG BERMOTIVASI dan perlukan inspirasi, kita lihat pada orang-orang kaya dan ternama di dunia, bukan kita lihat dan belajar daripada mereka yang sudah dijanjikan Syurga olehNya di sana.

Persoalannnya, mengapa kita mencari ‘ubat’ bagi penyakit-penyakit dalaman yang mencuri kegembiraan, ketenangan dan kedamaian jiwa ini daripada orang-orang dan di tempat-tempat yang salah dan yang tidak sepatutnya?

Tidakkah kita tahu perilaku lazim kita ini tidak mampu membawa kita ke mana-mana malah merumitkan masalah jiwa kita yang sering meronta-ronta mencari halatujunya yang nyata?

Carilah dengan segera ‘Doktor segala Doktor’. ‘Doktor’ ini Maha Penyembuh. ‘Doktor’ ini Maha Mengetahui. ‘Doktor’ ini Maha Penyayang lagi Maha Mengasihi. Hanya Dia yang mampu menyembuhkan semua penyakit kita, bukan manusia. Manusia hanya perantara. Ingat itu sampai bila-bila kerana sebelum mencari doktor manusia, cari dulu ‘Doktor segala Doktor’ ini. Yakinlah, berkat ikhtiar yang bermula dari Dia ke perantara, In shaa Allah kita akan jumpa penawarnya.
 ‘Doktor segala Doktor’ ini ialah Tuhan kita, Allah Azzawajalla.

No comments:

Post a Comment